Poliklinik Kementerian Kesihatan Malaysia Maxxxd Taxxh
Sungguh Memuaskan Tetapi Doktor Kurang Mesra
Pada pagi Khamis saya demam dan mendapat rawatan di Klinik xsuzx di Mxxxid Txxxh. Setelah diperiksa saya dinasihatkan berehat dan diberikan beberapa ubat. Pada awal pagi Jumaat saya merasa demam saya semakin bertambah, tubuh menggigil, rasa sengal-sengal sendi dan sakit kepala yang amat kuat. Keluarga menasihatkan saya mendapat rawatan daripada klinik kerajaan maklumlah pada masa sekarang ada banyak penyakit yang mempunyai simptom seperti yang saya alami. Ada H1N1, cikukunya, denggi dan sebagainya. Sebagai langkah berjaga-jaga saya menurut cadangan keluarga saya untuk ke Poliklinik Mxxxid Txxxh yang selama ini saya selalu lihat daripada luar sahaja.
Lebih kurang jam 9 pagi saya sampai ke perkarangan poliklinik. Keadaan amat tenang walaupun banyak kereta di luar bangunan menunjukkan agak ramai pesakit yang datang mendapatkan rawatan. Keadaan sekeliling juga bersih, teratur sedap mata memandang. Segalanya tersusun, teratur dengan tanda arah yang cukup jelas, hinggakan saya yang pertama kali datang, dapat terus menuju ke kaunter pendaftaran tanpa perlu bertanya arah kepada sesiapa. Tahniah kepada pihak pengurusan poliklinik ini. Ketika tiba di hadapan kaunter pendaftaran, saya telah disapa oleh petugas sebelum saya sempat bertanya, sangat bagus fikir saya sendirian. Inilah perkhidmatan rakyat seperti yang pemimpin kita selalu katakan. Wajah mereka ceria dan nampak bersungguh mahu membantu, menyebutkan perkataan 'sila duduk sebentar' sehingga dua kali. Terasa kurang sedikit sakit saya. Paparan di dinding nampak cantik, bermaklumat, susun atur yang sangat baik dan kelihatan semua petugas begitu peramah sambil memberikan nombor giliran untuk berjumpa doktor. Ketika berada di tempat menunggu saya memerhati sekeliling dan berkata dalam hati. Sungguh nyaman tempat ini, melihat nombor di tangan saya berfikir kalau begini, lagi 10 minit tibalah giliran saya, jauh lebih baik daripada jangkaan pihak hospital iaitu 60 minit iaitu satu jam seperti yang terpapar di laluan masuk. Bagusnya perkhidmatan sekarang. ..tahniah pengurusan Poliklinik Mxxxid Txxxh benar-benar menyediakan perkhidmatan bermutu.
Ketika tiba giliran saya, saya masuk ke bilik 4. Ucapan selamat pagi saya disambut oleh dua petugas wanita yang saya kira seorang doktor dan seorang jururawat. Setelah memberitahu apa yang saya alami dari hari sebelumnya, doktor wanita bertanya beberapa soalan yang saya fikir bukan beliau hendakkan jawapan tetapi lebih kepada menyindir atau memperli.
Contohnya: Jika dah tau demam, mengapa pakai baju tebal? Kalau semalam dah pergi Klinik xsuzx, adakah awak ingat kami akan beri ubat yang lain? Awak baru sehari demam, awak fikir sehari boleh terus baik ke? Cara beliau mengungkapkan kata-kata amat tidak mesra, sebaliknya menyakitkan hati. Sebenarnya jika saya bersalah kerana datang ke poliklinik selepas sehari demam atau memakai baju tebal kerana sejuk akibat demam itu tidak betul beliau boleh bercakap dengan nada baik seperti yang saya alami dengan berpuluh-puluh doktor lain sepanjang hidup saya.
Jika petugas lain yang saya fikirkan gajinya lebih kecil boleh memberikan perkhidmatan dengan mesra saya fikir tidak ada sebab doktor yang seorang ini tidak boleh. Sepanjang tempoh beliau menyukat suhu badan dan mengambil tekanan darah saya terfikir segala usaha murni pihak poliklinik dan Kementerian Kesihatan Malaysia tercalar oleh sikap segelintir doktor yang tersalah pilih profesyen.
Diharap doktor berkenaan dapat menginsafi diri yang bertugaslah sepenuh hati sebagaimana doktor, jururawat dan petugas lain Kementerian Kesihatan Malaysia agar tidak rosak susu sebelanga kerana nila yang setitik. Pada kertas yang saya pegang ada cop Dr. Mazurah bt. Jamaludin