Saturday, May 3, 2008

Apabila rumah terlupa kunci

Balik dari jalan-jalan ternampak daun pintu rumah jiran yang paginya menghantar sms nak ke Kedah, terbuka. Setelah diperiksa, didapati hanya daun pintu sahaja terbuka walaupun punatnya dah ditekan. Jeriji masih berkunci. Jelas bahawa orang yang menutup pintu telah tidak menarik daun pintu itu dengan kuat.

Setelah ditelefon tuan rumah menyatakan kemungkinan anak dara beliau yang menutup pintu. Setelah menutup pintu itu dengan kemas, terlintas di fikiranku, jangan-jangan ada kucing yang telah masuk ke rumah jiranku ini. Maklumlah di kawasan kejiranan kami banyak kucing yang berkeliaran kekurangan makanan kerana kafeteria yang tutup semasa cuti semester.

Besok petangnya anakku yang berada di rumah menelefon mengatakan kedengaran kucing yang mengiau dengan begitu kuat di rumah jiranku itu. Benarlah telahanku. Macam mana nak buat? Kunci tak ada. Oh ya..kena umpillah tingkap atau pintu rumah jiranku ini. Aku meminta sesorang mengusahakannya. Beliau menghubungi pekerja pembinaan yang sedang menjalankan kerja dalam kawasan itu untuk tolong usahakan.

Dengan bersenjatakan sebilah pemutar skru, dalam masa tak sampai lima minit pintu berjaya dibuka dan kucing ekor panjang melompat keluar.

Jiranku takut kucing itu berak sana sini tapi aku berlawak mengatakan kucing memang suka mencakar perabot jati

Pengajarannya: jangan lupa tutup pintu apabila keluar rumah.